Pengiran Yusran 10SM008
Islam Itu Indah
Wednesday, November 16, 2011
Tuesday, November 8, 2011
Umat Islam : Kualiti dan Kuantiti
Perang Hunain pula menjadi bukti bahawa bilangan yang ramai tidak dapat menolong Muslimin dalam mengatasi musuh, andai tiada keutuhan Taqwa dan Sabar.
Ayat al-Quran diturunkan mengenai perang Badar dan perang Hunain agar dijadikan sebagai pengajaran buat umat Islam. Sudahkah kita mengambil teladan dan sempadan?
Bilangan Muslimin yang sedikit dalam perang Badar tidak menjadi penghalang kemenangan, lantaran ketulenan Islam dan Iman, serta pegangan yang kukuh kepada Allah dan RasulNya.
Sebaliknya semasa perang Hunain, bilangan Muslimin amat ramai. Tetapi angka yang besar tersebut tidak menjamin kemenangan. Meskipun ramai, tetapi bagaimana dengan kekuatan iman di dalam jiwa?
Perang Hunain
Rasulullah s.a.w keluar menuju ke Lembah Hunain bersama angkatan berjumlah 12 000 orang - 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Mekah.
Melihatkan jumlah tentera yang besar, beberapa orang di kalangan tentera Muslimin berkata: "Kita pasti tidak akan kalah."
Sebahagian daripada tentera Muslimin di perang Hunain itu terdiri daripada mereka yang hanya menggabungkan tubuh badan ke dalam pasukan Muslimin, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai oleh dunia, masih terdapat sifat-sifat yang menjadi penghalang kepada turunnya pertolongan Allah s.w.t.
Oleh sebab itu, ramai dikalangan tentera Muslimin mundur ke belakang semasa berlakunya kacau-bilau dan porak-peranda akibat diserang hendap di Lembah Hunain.
Tetapi para mukminin sadiqin dari kalangan Ansar dan Muhajirin, kembali menghadapi musuh sebaik sahaja mendengar laungan dan panggilan Rasulullah s.a.w. Mereka terus mengelilingi Baginda s.a.w dan terus teguh mengharungi pertarungan sengit. Dan bilangan sadiqin itu tidak lebih dari 200 orang.
Dengan 200 orang sadiqin itu, kemenangan berbalik semula kepada Muslimin setelah hampir dimiliki pihak musuh. Sakinah (ketenangan) telah diturunkan dan ditempatkan semula ke dalam hati Muslimin. Pihak musuh musyrikin telah ditewaskan oleh tentera Allah, padahal mereka dalam angka bilangan berjumlah 12 000.
Firman Allah Ta'ala:
Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi sombong kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.
Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.
(At-Taubah: 25-26)
Perang Badar
Benarnya niat, gigihnya ikhtiar dan usaha - syariatullah juga sunnatullah, dan penggantungan harapan hanya kepada Allah Ta'ala, menjadi asbab hadirnya bantuan yang dinanti daripada Allah Maha Perkasa.
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."
Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Al-Anfal: 9-10)
Realiti Kini
Kuantiti itu penting, tetapi kualiti lebih penting. Umat Islam tidak sedikit. Ramai. Tetapi Muslim yang berjiwa Muslim Mukmin masih kurang. Muslim yang menghayati Islam sebagai the way of life masih kurang. Pelbagai 'penyakit' masih melanda umat Islam. Buktinya, apa yang kita lihat pada hari ini.
Pelanggaran larangan Allah, maksiat kepadaNya. Pengabaian solat, zakat dan puasa. Pakaian tidak menutup aurat dan tidak menepati syara'. Ikhtilat tidak syar'ie, khalwat, zina, rogol, rempit, curi, arak, judi, rokok, dadah, bunuh, homoseksual, murtad, pecah amanah, rasuah dan Al-Quran tidak diambil sebagai perlembagaan.
Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (telah melaksanakan perintah Allah untuk memberi peringatan) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.
Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.(Al-A'raaf: 164-165)
Perubahan perlu dilakukan. Umat Islam perlu sedar dan bangkit. Umat Islam perlu membina kekuatan spiritual, kepakaran dan ekonomi, mencontohi kegemilangan Islam di waktu silam. Dan peranan pembinaan kekuatan umat kini terletak pada bahu semua muslim.
Perintah Allah Ta'ala kepada kita:
Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka (musuh Allah) dengan kekuatan yang kamu miliki. (Al-Anfal:60)
-Artikel iluvislam.com
Wednesday, November 2, 2011
Dacing Akhirat
Sebagai manusia biasa, saya tidak lari dari melakukan dosa namun sebagai insan yang berjiwa hamba, yang ingin mencari redha Tuhannya demi mengejar kebahagiaan di akhirat kelak, menulis mungkin boleh dijadikan kupon pahala seandainya dilakukan dengan cara dan niat yang betul.
Arwah nenek saya pernah berpesan, guru-guru saya malah ibu bapa saya sendiri selalu berpesan, buatlah apa sahaja di dunia ini melainkan sesuatu yang ditegah oleh agama.
Saya terdetik hendak menulis kali ini. Biarpun ditengah-tengah kesibukan menyiapkan tesis yang perlu dihantar tiga minggu lagi. Tidak mengapalah, sementara menunggu hari cerah sedikit, saya menulis. Semoga Allah S.W.T bersama dengan saya di Subuh ini.
Sejak kebelakangan ini, soal hudud dibahaskan. Secara peribadinya, saya merasakan hukum ini tidak harus dibahaskan kerana ianya merupakan hukum Allah S.W.T, hukum Tuhan, hukum dari langit. Tidak perlulah kita hendak mempertikaikan ke'rasional'an hukuman itu dijalankan di negara ini.
Hukum Allah S.W.T, tidak pernah tidak relevan dengan masa. Islam adalah agama syumul, menyeluruh dan sentiasa relevan dan boleh diguna pakai dimana-mana dan pada bila-bila masa. Islam tidak pernah berubah. Jadi tak perlulah rasanya kita hendak berhujah soal hudud itu.
Hudud ialah soal agama, ia tidak perlu dipolitikkan. Jika tidak mahu laksanakan, diam dan jangan cuba hendak katakan perkara itu tidak relevanlah dan pelbagai lagi. Tetapi, bukankah itu panduan dari Allah S.W.T?
Pada saya, untuk melaksanakan hukuman hudud itu bukanlah sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan. Allah Maha Adil. Bukannya kita nampak seseorang itu masuk ke rumah seseorang, kita katakan dia mencuri lalu harus dipotong tangan.
Tidak! Islam sangat adil. Kalau tiada saksi yang mencukupi, hukuman tidak akan dilaksanakan. Kenapa hendak takut? Hudud, perlaksanaannya boleh menjamin keselamatan dan keharmonian negara.
Baiklah, dalam penulisan kali ini, saya bukan hendak bercakap tentang soal hudud itu namun tentang bisanya lidah namun, kerana soal hudud dibangkitkanlah, penulisan ini dapat difikirkan. Bagus juga, sekurang-kurangnya saya perlu membuat ulangkaji sikit tentang ayat Allah S.W.T selain duduk membaca jurnal Sains sahaja.
Baru-baru ini, saya terbacalah beberapa keratan akhbar yang bersangkut paut dengan hukum ini dan banyak sekali pendapat dan pandangan daripada orang-orang yang ditemuramah itu. Namun sangat dikesalkan bila pandangan dan jawapan yang diberikan itu sangat dangkal dan kelihatan bodoh. Maaf kalau saya kataka, jawapan para penghibur (kadang-kadang membosankan) kita adalah sangat menjelekkan!
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah S.W.T adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisa, ayat 56)
Kita memang mudah hendak bercakap itu ini kerana lidah tidak bertulang. Belit sana, belit sini. Tetapi haruslah kita ingat, setiap tutur kata kita itu ada dosa dan pahalanya yang tercatit. Kata-kata boleh menjadi pahala, dan kata-kata boleh menjadi dosa."Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Surah Qaaf, ayat 18)
Sebab itulah, di Akhirat kelak, lidahlah satu-satunya anggota yang akan dikunci dan tidak dibenarkan bercakap oleh Allah S.W.T kerana di dunia ini, terlalu banyak kerja lidah dan lidah boleh berbohong.Jika dibenarkan lidah untuk berbicara kelak, sampai ke sudah pun tidak akan selesai pengadilan di Mahsyar dan ramailah orang akan berusaha membelit dan menipu untuk memiliki nikmat Syurga.
Allah S.W.T pernah mengingatkan Nabinya, Harun dan Musa sewaktu berdakwah kepada Fir'aun untuk menjaga tutur kata meraka.
"Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (Surah Toha, ayat 43-44)
Kata-kata yang baik akan melembutkan hati yang keras. Dakwah bukanlah suatu yang mudah. Ibarat menjaja kebaikan, susahnya hendak terima dan sekejap sahaja dilupakan berbanding dengan menjaja keburukan, sekelip mata sahaja kita akan percaya.Dalam apa jua yang hendak kita katakan, berfikirlah dahulu impaknya. Lidahlah punca persengketaan berlaku. Lidahlah yang mudah mengadu domba, memfitnah, mengumpat, mencela, mengata dan segala-galanya.
Namun, lidah jualah yang menasihati, berzikir. Lalu, pilihlah, fungsi lidah yang bagaimana hendak kita bentuk dalam kehidupan kita. Hidup inikan suatu pilihan?
"Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya)." (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Kita jarang nampak soal kata boleh menjadi pahala. Namun percayalah dengan janji Allah S.W.T itu. Hatta mengalihkan pandangan dari memandang maksiat pun sudah dikira pahala, walaupun hanya sekadar jeling sahaja. Apatah lagi apabila kita mampu berkata-kata menegur sesuatu dengan niat menjaga agama. Subhanallah, itulah peringkat Iman yang paling tinggi.Al-Quran ada menjelaskan ciri hamba Allah S.W.T yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran 'ibad ar-Rahman, iaitu mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.
Boleh atau tidak kita bersikap demikian? Akhlak kita, orang yang mencerca harus kembali dicerca. Tidak ramai yang berdiam diri dan meminta keampunan Allah S.W.T saat dicerca kerana merasakan 'diam tanda kalah'). Tidak patut, diamlah jika tiada satu perkara kebaikan hendak diperkatakan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik." (Surah al-Furqan, ayat 63)
"Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." (Surah al-Ahzab, ayat 70)
Akhirnya, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Andai terkurang, marilah kita lengkapkan. Andai sudah terlaksana, marilah kita sempurnakan.Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)
Perkara sebegini, akan menjadi dacing kita di Akhirat kelak. Sama ada ia memberat ke kanan, atau memberat ke kiri. Sabda Rasullullah S.A.W :"Setengah daripada sebaik-baik Islam seseorang manusia itu iaitu meninggalkan ia akan barang yang tiada memberi manfaat di dalam Akhirat. "
Subscribe to:
Posts (Atom)